Friday, May 30, 2008

Ajal tidak mengenal usia tua, muda

Oleh Zulkifli Khair

SEKEPING gambar menunjukkan sepasang suami isteri menangisi kematian anak perempuan berusia enam tahun. Pandangan berlatar belakangkan runtuhan bangunan sungguh menyayat hati. Si bapa kelihatan meriba anak yang terkulai layu tidak bernyawa, manakala riak wajah si ibu jelas berduka. Tiada siapa dapat menyangka, tragedi gempa bumi di China baru-baru ini meragut lebih 51,000 nyawa. Kedua-dua ibu bapa itu tentu sekali tidak pernah terfikir menyangka anak kecilnya pergi dulu berbanding mereka. Maut ternyata tidak mengenal usia, tua atau muda.

Ibu bapa tiada sebarang kuasa untuk merayu malaikat Izrael daripada mencabut nyawa anak kecil mereka termasuk yang masih berada dalam rahim. Kelahiran adalah suatu anugerah begitu juga kematian suatu anugerah. Namun, fenomena alam itu tidak serupa dalam pandangan dan perasaan manusia. Dalam sesebuah keluarga, kelahiran disambut dengan penuh keceriaan. Sebaliknya, kematian ditangisi dalam suasana penuh kesedihan. Nabi Muhammad sendiri pernah mengalami keadaan sedih ini. Kematian anak kecilnya, Ibrahim misalnya disambut dengan penuh kedukaan seluruh ahli keluarga, malah nabi sendiri menitiskan air mata. Hal ini menunjukkan bahawa tiada salahnya menangis di atas pemergian si kecil, yang terlarang adalah meratap dan terpekik terlolong seperti sebahagian daripada orang bukan Islam.

Selain itu, kematian semua anak lelaki (tanpa meninggalkan seorang pun zuriat lelaki) tidak menjadikan nabi bergelut dengan masalah kemurungan dan duka nestapa yang berpanjangan sebaliknya diterima dengan tulus pasrah, di samping sedikit pun tidak menjejaskan tanggungjawab beliau dalam membangunkan umat dan negara.

Kisah Malik bin Dinar al-Sami (meninggal dunia pada 130H/748M) menarik untuk diimbau.

Diringkaskan cerita, ketika zaman berpoya-poya dan kaki minum, Malik mengimpikan seorang anak perempuan. Sebabnya, dia mendapat khabar, sesiapa yang mengasihi anak perempuan akan dapat masuk syurga. Maka dengan izin Allah, Malik pun dikurniakan Allah akan seorang anak perempuan. Menurut beliau, “Ketika dia mula pandai berjalan, maka cintaku bertambah padanya. Setiap kali aku meletakkan minuman keras di hadapan, anak itu datang kepadaku dan mengambilnya lalu menuangkannya ke bajuku.


“Setiap kali aku hendak minum arak, tangan anakku selalu menepis tanganku, seolah-olah dia melarang aku daripada meminumnya.” Malik sungguh menyayangi anak kecil itu, namun ketika berumur dua tahun, anak yang bernama Fatimah itu meninggal dunia. Sedihnya si bapa bukan kepalang.

Pada suatu malam Jumaat, pada Syaaban, Malik meneguk arak lalu tertidur sebelum solat Isyak. Dalam tidur dia bermimpi seolah-olah berada dalam Hari Kebangkitan. “Aku mendengar sesuatu yang bergerak di belakang, ketika aku menoleh ke arahnya kulihat seekor ular yang sangat besar berwarna hitam kebiru-biruan sambil membuka mulut bergerak ke arahku.” Malik lari sekuat hati. Di tengah jalan, beliau temui seorang lelaki tua dengan pakaian serba putih bersama haruman semerbak mewangi. “Wahai orang tua, tolonglah selamatkan aku daripada ular itu,” rayu Malik. Sambil menangis, orang tua itu menjawab, “Aku begitu lemah sedangkan ular itu lebih kuat daripada aku. Aku tak mampu melawannya. Kau lari sajalah, mudah-mudahan Allah menyelamatkan engkau.”

Malik bergegas berlari lagi dan akhirnya sampailah ke pinggir neraka - keadaan sungguh kritikal, di depan neraka, di belakang pula ada ular besar dengan keadaan mulut luas ternganga! Tiba-tiba kedengaran suara, “Tempat kamu bukan di sana (neraka).” Malik beredar dan berjumpa lelaki tua tadi. Malik diminta cuba pergi ke gunung Amanah.

“Aku pun menuju ke tempat itu. Di sana aku bertemu dengan seorang anak kecil berwajah sangat indah,” jelas Malik. Tanpa diduga, anak itu adalah anak beliau sendiri, Fatimah! Anak kecil itu pun mengusir ular besar. Kemudian mengusap janggut bapanya lalu membacakan sebahagian daripada surah al-Hadid, ayat ke-16. Ayat Allah bermaksud: “Belumkah datang waktunya bagi orang beriman untuk tunduk hati mereka mengingati Allah.” Ia boleh juga dinisbahkan kepada: Apakah belum sampai seru untuk beramal soleh? Tanya Malik kepada Fatimah berserta anak kecil lain, “Apakah yang kalian buat di gunung itu?” Jawab si anak kecil, “Kami adalah anak muslimin yang akan berada di sini sampailah kiamat, menunggu kalian datang kepada kami.” Selepas terjaga daripada tidur, Malik pun bertaubat, lalu menjadi seorang yang terkenal salih dan warak di sisi Tuhan.

Lelaki tua adalah gambaran amal salih, manakala ular adalah gambaran amal buruk atau dosa.

Moga Allah anugerahkan kesabaran dan ketabahan buat mana-mana ibu bapa yang kematian si kecil dengan apapun puncanya. Bukankah anak kecil itu milik Allah juga? Dia Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan. Menyalahkan Tuhan untuk sesuatu kematian hanyalah suatu dosa besar, cepu rasa hamba derhaka. Tiada nas yang jelas mengenai syafaat anak kecil kepada ibu bapa (mimpi seperti di atas tetap lebih rendah darjatnya berbanding ayat al-Quran dan al-Hadis). Pertemuan semula antara ibu bapa dengan anak kecil yang mati dulu adalah suatu yang pasti dengan syarat ibu bapa tergolong dalam golongan beriman.

Hal ini diterangkan dalam nas bermaksud berikut: “Dan orang beriman, dan anak cucu yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Setiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (At-Tur : 21) Kematian si kecil hakikatnya adalah suatu isyarat yang amat kuat bahawa kematian tidak mengenal usia. Yang kecil dan mentah muda tidak semestinya dilewatkan kematian, manakala yang tua dan lanjut usia pasti terlebih dulu menemui ajal. Mengingati kematian adalah satu sunnah, agar lebih bijak menguruskan kehidupan kini demi kehidupan lestari akan datang.

Penulis adalah jurulatih dan penulis bebas dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com.

Friday, May 23, 2008

Anugerah memimpin berdosa jika dipersia

Oleh Normah Abdul Aziz

PILIHAN Raya Umum ke-12 dan tarikh 8 Mac 2008 masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia. Tarikh itu membawa banyak perubahan kepada sebilangan orang. Misalnya dulu dikenali sebagai pemimpin, kini tidak lagi dan yang dulunya rakyat biasa kini adalah pemimpin sebagai wakil rakyat. Hakikatnya, gelaran yang dianugerahkan tidak datang dengan tangan kosong sebaliknya berserta tanggungjawab. Sewajarnya, bagi yang dikurniakan jawatan dengan tanggungjawab itu mensyukuri anugerah Allah. Tanda gembira dan bersyukur dengan kemenangan hasil undian rakyat yang memberi kepercayaan ialah mengucapkan terima kasih serta melakukan sujud syukur kepada Yang Esa.

Tumpuan kini ialah memenuhi janji diberi serta membuktikan bahawa anda adalah orang yang selayaknya menjawat jawatan itu kerana memang bersungguh-sungguh bersama pemimpin lain membangunkan agama, bangsa dan negara. Sememangnya semua Muslim mempunyai tanggungjawab dan amanah daripada Allah, tetapi sebagai orang yang berusaha mendapat gelaran pemimpin sudah tentu tuntutan itu lebih berat untuk menunaikan amanah rakyat. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu memerintahkan kepada engkau semua supaya engkau semua menunaikan amanah kepada ahlinya.” - (Surah an-Nisa’, ayat 58)

Akibat daripada tidak menjaga amanah sudah diingatkan Rasulullah SAW dalam hadis daripada Abu Maryam Al Azdi, beliau berkata kepada seorang khalifah Muawiyah: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang diserah oleh Allah akan sesuatu kekuasaan daripada beberapa urusan pemerintahan kaum Muslimin, kemudian orang itu menutup diri, tidak memperhatikan perihal hajat, kepentingan atau kefakiran orang yang di bawah kekuasaannya, maka Allah juga akan menutup diri iaitu tidak memperhatikan perihal hajat, kepentingan atau kefakirannya sendiri pada hari kiamat.” Rasulullah SAW mengingatkan Abu Dzar Al-Ghifiri dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya kepemimpinan itu adalah suatu amanah, pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang dipertanggungjawabkan.”

Itu antara beberapa pesanan supaya amanah dijaga dan dilaksanakan dengan baik. Ia adalah amanah yang seandainya tidak ditunaikan akan menjadi penyesalan di akhirat kelak. Sebaliknya jika kepemimpinan itu dijaga dengan baik, maka ia akan benar-benar menjadi anugerah. Anugerah yang harganya terlalu besar, boleh dinikmati kesannya daripada kehidupan di dunia hingga akhirat.

Daripada ’Auf bin Malik, katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemimpin pilihan di antara engkau ialah orang yang engkau mencintai mereka dan mereka pun mencintai kamu semua, juga yang engkau mendoakan kebajikan untuk mereka dan mereka mendoakan kebaikan untuk kamu semua.” Hadis lain pula menegaskan bahawa kepemimpinan itu satu daripada faktor yang menggolongkan seorang individu itu layak mendiami syurga.


Daripada ’Iyadh bin Himar katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ahli syurga itu ada tiga macam, iaitu orang yang mempunyai kekuasaan pemerintahan yang berlaku adil dan dikurnia taufik iaitu pertolongan oleh Allah untuk melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya, juga seorang yang berhati kasih sayang, lemah lembut kepada semua kerabatnya dan juga kepada sesama muslimnya, dan pula seorang
yang menahan diri daripada meminta-minta dan berusaha untuk tidak meminta-minta, sedangkan ia mempunyai keluarga yang banyak dan dalam keadaan miskin.”

Hadis ini menjelaskan bahawa pemimpin yang melaksanakan tugas kepimpinannya dengan baik maka menjadikan dirinya calon yang layak memasuki syurga Allah. Oleh itu sesungguhnya kepimpinan itu diiringi tanggungjawab besar membawa amanah yang sudah disanggupi. Jika amanah itu dilaksanakan dengan baik maka ia menjadi anugerah manakala jika tidak dijaga dan diabaikan, maka ia akan menjadi penyesalan dan kehinaan.

Penulis ialah seorang guru dan ahli wanita JIM Kuala Lumpur yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, May 16, 2008

Sikap positif dorong umat fahami fitrah

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

wanitajim0@yahoo.com

AHLI tafsir terkemuka, Imam Ar Razi, ketika menafsirkan ayat ‘Al-Rahman Al-Rahim’ (surah al-Fatihah) menyebutkan dua kisah sangat mengesankan dan menunjukkan betapa Allah Maha Pengasih dan Penyayang.

Satu kisah itu ialah pengalaman seorang salih dan ahli sufi bernama Ibrahim Adham. Pada suatu hari Ibrahim menjamu selera di rumah seorang ketua kaum. Ketua kaum itu menghormati beliau dengan menghidangkan makanan enak. Ketika Ibrahim hendak menyuap, tiba-tiba datang seekor burung gagak menyambar makanan itu. Ibrahim segera melihat bahawa pasti ada suatu pengajaran daripada tindakan aneh burung itu. Beliau segera bangkit dan berjalan mengikuti arah burung itu terbang.

Ibrahim ternampak gagak itu menjatuhkan makanan ke suatu tempat. Ibrahim mendekati arah jatuhnya makanan itu. Setibanya di tempat itu, Ibrahim menyaksikan seorang lelaki yang diikat dalam keadaan terlentang di bawah sebuah pohon rendang. Rupa-rupanya makanan yang dijatuhkan burung gagak terus masuk tepat ke mulut insan tidak berdaya itu. Ibrahim segera mengagungkan Allah, yang menyelamatkan hamba-Nya yang tidak berdaya. Secara logik akal, insan itu tidak akan hidup lama dalam keadaan terikat seorang diri di hutan namun, kerana kasih sayang Allah, Dia menghantar gagak untuk membantu insan malang itu.

Cerita Ibrahim ini menggambarkan kepada kita mengenai sikapnya yang melihat kebaikan di sebalik kejadian yang kelihatan buruk. Sering kali kita dengar pakar motivasi memberikan tip untuk mencapai kecemerlangan dan kebahagiaan. Antaranya, kita perlukan tiga perkara untuk mencapainya iaitu ilmu, kemahiran dan sikap. Daripada ketiga perkara ini, yang paling utama adalah sikap. Andai kata kita ingin menjadi sahabat yang cemerlang, hanya sikap menjadi penentu.

Kita mungkin menjadi seorang paling alim dan intelek di muka bumi, tetapi kita pastinya dibenci oleh lawan, mahupun kawan andai tidak mempunyai sikap yang baik. Sikap negatif seperti tidak prihatin, mulut celupar, panas baran sudah cukup membuatkan orang benci pada kita. Kajian oleh seorang profesor daripada Universiti Yale, membuktikan hal ini apabila didapati tujuh peratus kejayaan graduan dari Sekolah Perniagaan Harvard bergantung pada ilmu dan kemahiran sementara 93 peratus bergantung kepada sikap.

Sikap maksudnya cara kita melihat pada sesuatu. Kita dapat apa yang kita lihat. Contoh, apabila kita melawat pantai yang memutih, ada tiga cara (mungkin lebih) melihat pantai itu. Sebagai pelancong kita melihatnya sebagai tempat untuk merehatkan minda dan bersantai. Maka kerehatan yang bakal kita peroleh. Sebagai penangkap ketam, kita ke sana untuk menangkap ketam. Maka ketam akan kita dapat. Sebagai usahawan, kita mencari ruang niaga yang sesuai dan menguntungkan. Maka memang kemungkinan besar, itulah yang akan kita peroleh. Seruan untuk membetulkan cara melihat atau sudut pandangan, bukanlah semata-mata seruan daripada pakar motivasi saja.

Seruan itu juga adalah seruan Ilahi dalam al-Quran. Berapa banyak ayat yang seolah-oleh bertanya kepada manusia, “Tidakkah kamu melihat?” dan kritikan buat manusia yang membutakan diri, “Apakah kamu tidak melihat?” Ada pelbagai cara untuk memandang, iaitu pandangan mata, akal, nafsu dan mata hati. Cara paling baik untuk menentukan sikap ialah dengan pandangan mata hati, pandangan digandingi dengan aktiviti berfikir untuk menghasilkan yang terbaik bagi semua pihak.

Contoh, kita ingin mengambil kaedah digunakan seorang ulama, Abd Majid Aziz Az-Zindani dalam bukunya, Kitab Tauhid ketika membicarakan perihal ayat dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.” (Surah Abasa, ayat 24).

Menurut beliau, daripada makanan beliau boleh melihat sembilan sifat Allah padanya antaranya Maha Pemberi Rezeki. Apakah nilai pada sepinggan nasi berharga RM5 jika kita tidak fikirkan berapa orang terbabit untuk menyediakan sepinggan nasi. Jika kita kaji proses terhasilnya nasi daripada beras, menjurus kepada padi di sawah, kita dapat merasai kasih sayang Allah yang memberikan rezeki. Daripada contoh kita fahami fitrah manusia memerlukan kepada masyarakat sama ada dia mahu atau tidak, suka atau tidak. Dalam kehidupan sehari, sedar atau tidak kita sentiasa mendapat pertolongan Allah terutama saat berada dalam keadaan genting dan sangat terdesak.

Kita sering dimanjakan dengan kasih sayang-Nya. Namun, kita selalu melupakannya. Malah, kadangkala kita sering menganggap bahawa kecemerlangan dicapai kerana kehebatan kita. Akibatnya kita acap kali menjadi sombong dan bangga kerananya. Kita ambil mudah banyak perkara dan melanggar hukum-Nya, dengan pelbagai alasan yang kita reka sendiri. Walhal sebenarnya nikmat itu hanyalah kurniaan Allah.

Penulis ialah AJK Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

Friday, May 09, 2008

Cabaran ibu bentuk generasi bertakwa

Dr Azma Mahmood

SEBENING titisan embun pagi, secerah sinarnya mentari. Bilaku tatap wajahmu ibu, ada kehangatan di dalam hatiku. Air wuduk selalu membasahimu, ayat suci selalu dikumandangkan. Suara lembut penuh keluh dan kesah, berdoa untuk putera puterinya.” Sebahagian lirik daripada lagu Ibu oleh Sakha penyanyi seberang, membuat hati semua ibu tersentuh. Jika boleh, semua ibu mengimpikan anak yang mengenang budi dan berbakti kepada orang tua. Jauh di sudut hati kita bertanya diri, apakah tanggapan anak kita terhadap diri kita? Adakah kita dikenang oleh anak seperti dalam lirik di atas?

Saodah Hassan menulis dalam bukunya bertajuk: Ibu: Tanggungjawab, Pengorbanan dan Cabaran, “Ibu adalah wanita yang dimuliakan Allah sebagaimana tercatat dalam kitab suci al-Quran. Bila disebut ibu, ia adalah seorang wanita, kiranya wanita itu baik, maka baiklah sesuatu keluarga dan jika keluarga itu baik, maka baiklah masyarakat, jika sesuatu masyarakat itu baik maka sesebuah negara akan jadi baik.” Sebenarnya penulisan di atas adalah maksud daripada hadis popular yang menekankan pentingnya pengaruh ibu dalam menentukan berjaya atau gagalnya sesebuah keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Negara malah dunia menjadi makmur, aman sentosa apabila memiliki ibu berkualiti. Dunia ideal yang tidak ada anak merempit, ketagih ganja dan syabu, lari dari rumah seperti yang kita dengar dan lihat hari ini baik di akhbar, majalah, radio, TV mahupun internet.
Teringat pula kepada Maryam, ibu Nabi Isa yang diabadikan kisahnya dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan ingatlah (wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu, dan telah memilihmu untuk beroleh kemuliaan melebihi perempuan seluruh alam yang sezaman denganmu. Wahai Maryam, taatlah kepada Tuhanmu (Allah), dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama orang yang rukuk.” Ciri apakah yang ada pada Maryam sehingga dia dipilih Allah? Tentu sekali kerana ketakwaannya serta kekuatan ibadatnya kepada Allah. Begitu juga ibu Nabi Musa, Khadijah, Fatimah binti Rasulullah SAW, Asma’ binti Abu Bakar dan wanita Muslimah lain yang dikenang sejarah. Semua mereka memiliki ciri ketakwaan unggul. Ibu yang patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW serta menghayati ajaran Islam sudah tentu ciri itu diikuti anak mereka.
Mereka melahirkan pemimpin dunia yang agung dan dikenang sepanjang zaman. Ramai ibu hari ini berjaya menghasilkan jutawan, tokoh akademik, doktor, jurutera dan profesional pelbagai bidang. Apakah ini kayu ukur sebenar kejayaan seorang ibu? Kerana kita akan bertanya balik, berapa ramaikah anak yang berjaya ini menjadi penjenayah kolar putih, kolar biru dan berapa pula yang mensia-siakan hidup mereka.

Nilai kejayaan dan kecemerlangan ibu perlu dilihat daripada kejayaan anak yang pintar ilmu, emosi dan spiritual. Satu nilai yang mengambil kira nilai dunia dan akhirat ialah takwa. Jika anak itu menjadi pekerja tidak kira berpangkat atau sebaliknya, biarlah mereka menjadi pekerja yang bertakwa kerana ia adalah kejayaan buat ibunya.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat, ayat 13).
Cabaran besar buat diri kita dan ibu hari ini adalah untuk menetapkan sasaran supaya anak yang menjadi generasi pewaris membesar menjadi anak bertakwa. Bukan saja yang soleh tetapi juga mengajak orang lain melakukan amal soleh.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya dan hampalah orang yang mengotorinya.” (Surah As-Syams, ayat 9-10) .
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ketahuilah dalam tubuh ada sesuatu yang kalau baik, baiklah seluruh tubuhnya; kalau jahat, jahatlah seluruh tubuhnya. Itulah kalbu.” (Hadis riwayat Muslim).
Hati adalah tempat tumbuhnya segala sifat positif seperti ikhlas, jujur, berani, benar, berkasih sayang dan warak. Sebaliknya, hati juga tempat menyuburkan sifat negatif seperti mementingkan diri, tamak, pengecut, benci serta dendam.
Persada zaman menampilkan ibu sejati dan mithali, Asma’ binti Abu Bakr yang mendidik jiwa anaknya Abdullah ibnu Zubair menjadi seorang berani bersuara dan panglima dalam jihad. Jawapan Abdullah ibnu Zubair kepada Khalifah Umar al-Khattab ketika ditanya kenapa kanak-kanak lain lari apabila bertembung dengan Umar ialah: “Ibu kita mengajar supaya takut pada Tuhan saja, bukan pada manusia.” Pada usia tua, ketika melihat Abdullah ibnu Zubair diseksa oleh Hajjaj, Asma’ masih mampu menyuburkan jiwa Abdullah dengan kata-kata semangat: “Kambing yang disembelih tidak akan terasa kulitnya dilapah.”
Kejujuran sikap Syeikh Abdul Qadir al-Jailani (ketika remaja), tanpa takut bercakap benar kepada perompak. Beliau menjawab soalan perompak yang menawannya mengenai wang yang banyak dalam poketnya. Ketika ditanya oleh perompak mengapa beliau memberitahu mengenai wang 40 dinar itu beliau menjawab: “Ibuku selalu berpesan supaya sentiasa berkata benar walau dalam keadaan apa sekalipun. Dan aku takut untuk menderhakai perintahnya.”
Oleh itu, ibu moden perlu jelas dengan ukuran kejayaan dan memastikan anak berjaya menunjukkan ciri kejayaan sebenar. Piawaian kejayaan kita hendaklah berdasarkan nilai ukuran yang ditetapkan Allah antaranya:
l Orang yang mengenal Allah sebagai Tuhannya dan bersungguh-sungguh taat serta mengabdikan diri dengan tulus dan istiqamah.
l Orang yang berani dan berjaya menemukan kekurangan dirinya lalu dengan bersungguh-sungguh dan gigih memperbaikinya
l Orang yang berjaya mengembangkan potensi positifnya hingga hidupnya kian hari kian bermanfaat kepada sesama manusia dan makhluk lainnya.
l Orang yang akhir hayatnya husnul khatimah , iaitu matinya penuh kemuliaan di jalan yang diredhai Allah.
Kata-kata hikmat bahawa ‘tangan yang menghayun buaian itu boleh mengubah dunia’ mengajak kita ibu berazam untuk menjadi ibu mithali yang akan mencorakkan generasi unggul pernah disaksikan sejarah suatu ketika dulu.
Hari ibu tahun ini usah ditanya apakah hadiah yang akan kita terima daripada anak tetapi kita tanyakan diri kita apakah ‘hadiah’ kita kepada anak dan sediakan apakah jawapan yang akan diberikan kepada Allah.
Penulisan disediakan pensyarah di Institut Pengajian Islam Bangi dengan kerjasama wanita JIM yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, May 02, 2008

Jendela Hikmah: Niat, ihsan tingkatkan produktiviti

ERAT: Kerjasama dalam kerja berpasukan, keserasian antara rakan sekerja dan pengurusan menjadi faktor penentu dalam memelihara produktiviti. - Gambar hiasan

Oleh Dr Norizam Alias wanitajim0@yahoo.com

Semangat berpasukan antara pekerja, pengurusan wujud keharmonian sesebuah firma
KITA selalu mendengar keluhan rakan yang kurang senang dengan pekerjaannya dan juga diberitahu mengenai mereka yang suka melompat daripada satu majikan ke majikan lain kerana tidak betah bekerja lama di satu-satu tempat. Antara alasan yang diberikan ialah bosan, tidak puas hati, gaji kecil, tiada kepuasan, majikan garang, masalah pengurusan syarikat, kawan sekerja yang tidak sehaluan dan pelbagai alasan lain. Akibatnya, mereka akan bekerja sambil lewa tanpa jiwa dan kosong semangat. Apabila keadaan ini dibiarkan berterusan akan membantutkan kemajuan diri, merugikan perkembangan kerjaya dan produktiviti tempat kerja mereka.
Di satu sudut pula, ada kalangan kita yang tergolong dalam kategori 'gila kerja' (workoholic). Sekali imbas mereka begitu rajin bekerja dan tidak terlihat unsur kebosanan, tetapi apakah pekerjaan itu benar-benar membahagiakan mereka dan orang di sekeliling? Menurut Psikoterapi, Dr Robinson, gila kerja adalah satu keadaan di mana seseorang itu mengalami ketagihan kerja, menghabiskan sebahagian besar masanya untuk kerja dan kadangkala mengalami 'gian' apabila tidak melakukannya. Apabila seseorang mengalami ketagihan kerja, ia akan memberi kesan kepada kesihatannya. Mereka mengalami keletihan, gangguan tidur dan mengalami tekanan perasaan. Mereka berisiko tinggi untuk mendapat serangan sakit jantung dan angin ahmar.
Pengarang buku Working Ourselves to Death, Diane Fassel menulis bahawa mereka yang gila bekerja berkemungkinan tinggi untuk mengabaikan keluarga dan tanggungjawab sosial. Walaupun kerjanya mungkin memberi pulangan dari segi produktiviti untuk jangka masa pendek, tetapi merugikan banyak pihak untuk jangka masa panjang. Bekerja bukan saja berkait rapat dengan tugasan yang perlu diselesaikan, tetapi ia adalah berasaskan hubungan sesama manusia. Hubungan itu memerlukan komunikasi dalaman dan luaran yang berkesan.
Jika perlu, jangan takut untuk mengubah kerjaya. Hal ini tentu sukar dilakukan. Oleh itu, sebelum mengubah kerjaya, pastikan anda membuat persiapan diri dengan pengetahuan dan maklumat tepat supaya tidak menyesal kemudian hari. Kerjasama dalam kerja berpasukan, keserasian antara rakan sekerja dan pengurusan menjadi faktor penentu dalam memelihara produktiviti. Majikan dan pekerja mempunyai matlamat tersendiri dalam dunia pekerjaan. Majikan dan pengurusan mahukan produktiviti berkualiti, pekerja pula menuntut pulangan setimpal.
Pakar pengurusan dan sains sosial Barat mencipta pelbagai teori pengurusan bagi membantu warga pekerja meningkatkan daya pengeluaran. Teori Hierarki Kehendak Maslow menyatakan, ada lima jenis keperluan manusia yang perlu diberikan pada pekerja bagi meningkatkan daya pengeluaran. Kehendak pekerja ialah gaji berpatutan, keselamatan, kasih sayang, penghargaan dan kemuncaknya adalah kesempurnaan diri. Kesempurnaan di sini bermaksud kuasa, harta, pangkat dan gelaran yang menjadi simbol kemegahan dan kepuasan diri.
Jelas sekali kemuncak kesempurnaan diri dalam teori Maslow tertumpu kepada memenuhi kehendak nafsu besar manusia tanpa batasan. Demi memenuhi kehendak yang tiada batasan itu akibatnya manusia bersifat rakus mementingkan diri, rasuah, melanggar undang-undang dan melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi.
Di pihak pengurusan pula, sanggup memerah keringat pekerja tanpa simpati. Jelaslah di sini jika pencarian yang bermatlamatkan kepuasan diri dan produktiviti tanpa keseragaman niat akan menjadikan pekerja dan pengurusan golongan manusia sanggup berbuat apa saja. Ada antara kita merasakan niat tidak begitu dipentingkan. Kita lebih mengutamakan matlamat atau hasil daripada usaha yang dilaksanakan.
Alangkah cantiknya jika kita dapat seragamkan antara niat dengan budaya ihsan dalam pekerjaan. Jika ini berlaku, maka keseragaman niat antara pekerja dan pengurusan terhasil. Apabila niat dan ihsan dilestarikan, kita bekerja dan mengambil pekerja yang memasang niat mencari keredaan Allah untuk meningkatkan produktiviti dan menjamin keharmonian sesebuah organisasi.
Niat adalah asas dalam konsep ihsan dan Islam memberi perhatian berat terhadap peranan manusia dalam meningkatkan kualiti daya pengeluaran dengan membudayakan konsep ihsan ini.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, pada suatu hari Rasulullah SAW muncul di antara kaum Muslimin. Lalu datang seorang lelaki dan bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah iman itu? Rasulullah SAW menjawab: Engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, pertemuan dengan-Nya, rasul-Nya dan kepada hari berbangkit. Orang itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah, apakah Islam itu? Rasulullah SAW menjawab: Islam adalah engkau beribadah kepada Allah dan tidak sekutu-Nya dengan apa pun, mendirikan solat fardu, menunaikan zakat wajib dan berpuasa pada Ramadan. Orang itu kembali bertanya: Wahai Rasulullah, apakah ihsan itu? Rasulullah SAW menjawab: Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Dan jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia selalu melihatmu."
Maksudnya, setiap saat kita bekerja, kita buat sebaik mungkin, dengan hati dan semangat, kerana kita sentiasa berasa kehadiran Allah yang memerhati setiap perkataan dan perlakuan dalam pekerjaan kita.
Syed Abu Ala Maududi dalam risalahnya Guidelines For Islamic Workers memberi panduan berhubung membudayakan 'ihsan' dalam pengurusan iaitu:

Mengaitkan pekerjaan dengan beribadah kepada Allah supaya pekerjaan dilakukan sentiasa berada dalam landasan syariat, tidak melakukan perkara haram,

Membuat yang terbaik untuk mendapat balasan setimpal pada hari akhirat dan sekali gus mendapat imbuhan daripada majikan yang seronok dengan pencapaian sempurna kerja kita

Elak bersifat takbur, tidak memperlekeh rakan sekerja apabila kita berjaya melaksanakan pekerjaan dengan cemerlang,

Mengambil berat kebajikan keluarga sendiri dan rakan sejawat kerana ia menjadi asas pertumbuhan dan keharmonian tempat kerja

Saling bantu membantu dengan semangat setia kawan dan kerja berpasukan untuk kebaikan bersama

Memberi teguran dan pengajaran secara membina bagi mengatasi kelemahan di tempat kerja.
Patuh dan taat melaksanakan piawaian yang dipersetujui serta peraturan ditetapkan majikan di tempat kerja.
Namun, konsep ihsan bukan sekadar melaksanakan hak Allah, organisasi, pekerja dan masyarakat umum, malahan ia mencakupi hak haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Mereka yang mengamalkan budaya ihsan akan memperoleh dua ganjaran iaitu ganjaran daripada Allah dan juga daripada alam serta manusia.
Firman Allah bermaksud: "Berbuat baiklah kepada makhluk Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu dengan kurniaan nikmat yang melimpah ruah dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)
Penulis adalah doktor pakar psikiatri dan Ketua Wanita JIM Johor Baru yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com