Friday, May 25, 2007

Perasaan malu perisai masalah gejala sosial

Perasaan malu perisai masalah gejala sosial
Oleh Endok Sempo M Tahir

KEBANYAKAN malapetaka sosial yang menimpa masyarakat hari ini seperti gejala seks rambang, hidup bersekedudukan tanpa nikah, main kayu tiga, anak luar nikah, penderaan wanita dan kanak-kanak, wabak Aids adalah kerana hilang atau kurangnya sifat malu dalam diri manusia.


Daripada Abi Mas'ud al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di antara ucapan kenabian pertama (Adam) yang didapati manusia (daripada generasi ke generasi) adalah, “Jika engkau tidak malu maka perbuatlah apa yang engkau inginkan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hadis Nabi SAW ada menyatakan bahawa: “Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Maksud hadis itu ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman juga akan hilang. Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan keimanan kepada diri seorang wanita itu.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Apabila seorang itu terbabit dengan perzinaan, dia bukan lagi beriman, apabila seseorang itu mencuri, dia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu meminum arak, dia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu menyeleweng selepas diberi amanah oleh orang lain, dia bukan lagi seorang beriman, dan apabila seseorang di antara kamu menipu, dia bukan lagi seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah.”

Justeru, malu seorang lelaki atau wanita itu datang daripada sifat malu kerana takut kepada Allah.

“Setiap agama mempunyai kriteria dan kriteria (agama) Islam adalah sifat malu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sifat malu dan memelihara kehormatan adalah perhiasan dan perisai bagi mereka yang percayakan adanya pembalasan pada hari akhirat. Perisai inilah yang menghalang mereka daripada terjerumus melakukan dosa serta noda zahir dan batin.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah.” (Hadis riwayat al-Imam at-Tirmizi)

Allah menggantungkan kebahagiaan dan kejayaan insan kepada kemampuannya menjaga kehormatannya. Tidak ada jalan menuju kebahagiaan dan kejayaan tanpa menjaga kehormatan. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang beriman. (Yaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, orang yang menunaikan zakat, orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barang siapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-7)

Perbuatan zina yang keji bermula daripada pandangan mata. Oleh itu, Allah mendahulukan perintah untuk memalingkan pandangan mata sebelum perintah menjaga kemaluan kerana banyak musibah besar bermula daripada pandangan pertama.

Imam Ibnu Qayyum al Jauzi berpendapat: “Barang siapa yang mampu menjaga empat perkara ini, dia menyelamatkan agamanya. Al-Lahazhat (pandangan pertama), al-Khatharat (fikiran melintas di benak), al-Lafazhat (lidah dan ucapan), al-Khathawat (langkah nyata untuk sesuatu perbuatan).

Rasulullah SAW memerintahkan kita memelihara diri daripada perbuatan dibenci Allah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Malu adalah cabang iman dan iman di dalam syurga dan kurang sopan itu adalah sebahagian daripada kekerasan hati, kekerasan hati adalah di dalam api neraka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi)

Menjaga batas pergaulan lelaki dan wanita adalah cara memupuk sifat malu. Walau apapun yang kita lakukan, mesti dibenteng dengan sifat malu. Kita perlu meletakkan batas dalam minda kita diikuti dengan perbuatan yang mengukuhkan komitmen.

Sifat malu atau (haya') adalah benteng iman. Kerana kita malu kepada Allah, malu kepada manusia dan kepada diri sendiri, maka kita terhalang daripada menjatuhkan maruah dengan perlakuan maksiat. Terbuka atau tersembunyi, sifat malu itulah yang menjadi benteng daripada suasana persekitaran yang merosakkan iman.





Penulis ialah ahli jawatankuasa Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, May 18, 2007

Pengasuh juga perlu hari khas kenang jasa

Jendela Hikmah: Pengasuh juga perlu hari khas kenang jasa
Oleh Rosnah Ahmad

KITA baru saja meraikan hari guru dan hari ibu yang disambut meriah di seluruh negara. Lain pula halnya dengan hari pengasuh, ia tidak begitu diketahui dan disambut.


Berbeza dengan hari guru yang disambut meriah pada peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, guru akan menerima pelbagai hadiah sebagai tanda penghargaan daripada anak didik mereka. Sebaliknya, anak asuhan masih terlalu kecil untuk mengerti dan menghargai pengasuh mereka.

Kesedaran ibu bapa mengenai perkara itu juga masih belum meluas. Jika adapun hari pengasuh, hanya disambut oleh persatuan pengasuh peringkat negeri dan daerah untuk meraikan semua pengasuh yang mengasuh anak di rumah, Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dan di Pusat Jagaan Harian.

Contohnya, Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP) mengadakan sambutan hari pengasuh pada setiap Jun. Bagaimanapun, tiada tarikh khas diperuntukkan untuk sambutan hari pengasuh peringkat kebangsaan.

Selain ibu bapa, di tangan pengasuh terletak satu amanah besar. Mereka antara sekolah pertama dalam hidup kanak-kanak. Contoh paling unggul ialah Rasulullah SAW dititipkan kepada ibu susuannya iaitu Halimah Sa’diah untuk disusukan dan diasuh. Nabi Musa juga mempunyai ramai pengasuh di istana Firaun. Menurut seorang mahaguru pendidikan Islam, Abdullah Nasih Ulwan, kecemerlangan anak adalah satu natijah amalan dan pengalaman yang dilalui dan tersemat dalam jiwa anak sejak lahir hingga usia enam tahun.

Begitulah besar kesan tarbiyah pada usia muda anak. Jadi, apakah peranan dan tanggungjawab pengasuh?

Tugas mereka bermula daripada perkara paling asas iaitu menjaga makanan, pakaian, kebajikan dan keselamatan anak sehinggalah kepada menerapkan nilai murni untuk pembentukan peribadi Muslim. Pengasuh juga murabbi yang mengasuh dan mendidik ilmu akademik dan ilmu akhirat kepada anak.

Antara peranan utama mereka adalah sebagai qudwah hasanah. Segala pertuturan, tingkah laku dan amalan mereka menjadi contoh dan ikutan anak.

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud, bahawa bala daripada Allah tertahan di antara langit dan bumi apabila masjid masih dimakmurkan, anak masih dididik dengan Islam dan al-Quran masih dibaca.

Kerana amanah ini, Allah juga menjanjikan banyak ganjaran kepada pendidik melalui firman-Nya yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujaadalah, ayat 11)

# Penulis adalah pengusaha Taska/Tadika di Kuantan, Pahang, dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com

Saturday, May 12, 2007

Tangungjawab ibu semakin sukar

Tangungjawab ibu semakin sukar
Marihah binti Suhaimi

Ibu di zaman moden ini beruntung kerana memperolehi pengiktirafan dunia hingga diujudkan satu hari khas untuk meraikan ibu seperti adanya Hari Pahlawan, Hari Kanak-Kanak Sedunia dan sebagainya.

Tetapi jika diteliti, benarkah ibu-ibu sekarang beruntung?

Untuk menjawab persoalan ini dalam konteks Malaysia , kita perlu mengkaji fenomena penghijrahan warga kampung ke bandar dan kesannya terhadap perubahan struktur sosial masyarakat. Anak-anak berhijrah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran dan mencari peluang pekerjaan sedangkan ibu bapa tinggal dikampung. Tindakan ini memisahkan keluarga dan merubah konsep keluarga daripada ‘extended family’ yang besar kepada ‘nuclear family’ yang lebih kecil.

Peluang pendidikan yang tidak mendiskriminasi lelaki dan wanita pula telah berjaya menghasilkan ramai cendiakawan wanita. Kini 70 peratus penuntut universiti tempatan terdiri daripada pelajar wanita, satu angka yang menimbulkan tanda persoalan kerana mana perginya remaja lelaki Malaysia .

Secara tidak langsung ini meninggalkan kesan terhadap pandangan dan harapan masyarakat terhadap wanita. Wanita tidak lagi diharapkan menjadi suri rumah, tetapi sebaliknya membantu meringankan beban kewangan ibu bapa walaupun mereka telah berkeluarga. Tetapi anehnya, peranan lelaki dan harapan masyarakat terhadap lelaki masih tidak banyak berubah. Tugas-tugas dirumah masih pertanggungjawabkan ke atas wanita walaupun bekerja.

Bekerja sepenuh masa bermakna sekurang-kurangnya lapan jam di pejabat. Dengan kesesakaan lalu lintas yang memerlukan pergi kerja lebih awal dan pulang lebih lewat maka seorang ibu itu berada sekurang-kurangnya 10 jam jauh daripada anak-anaknya. Tugas pengasuhan diambil alih oleh pembantu rumah atau penjaga nurseri. Apabila pulang kerumah, ibu yang telah penat bekerja ini harus pula melayan kerenah anak-anak dan suami disamping membereskan kerja-kerja rumah yang lain.

Mampukah ibu-ibu menyelesaikan semua tugas-tugas ini dengan baik?. Tentu bukan mudah dan terpaksa menghadapi pelbagai tekanan. Tekanan untuk menjadi ibu yang sempurna di rumah dan tekanan untuk menjadi pekerja yang cemerlang di tempat kerja.

Bagaimana harus seorang ibu mengharungi dua dunia serba mencabar ini supaya salah satunya atau kedua-duanya tidak tercicir?

Bagaimanakah harus dia kekal terapung dan tidak lemas?

Apakah corak pemikiran dan tingkahlaku yang diperlukan oleh seorang ibu untuk berjaya?

Beberapa cadangan disyorkan sebagai garispanduan untuk ibu-ibu menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik:
Apakah matlamat hidup –
‘Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku’
(Ad-Dzaariyat : 56)
Ini adalah sebab yang utama kita dijadikan.
Matlamat hidup ini hendaklah merangkumi seluruh kehidupan samada sebagai seorang individu, seorang isteri, ibu dan pekerja. Kesemua aspek-aspek ini hendaklah di selaraskan agar tidak bercanggah dan berlawanan tetapi disalurkan ke arah keredaan Allah SWT.
Rancang mengikut keutamaan – perancangan adalah berdasarkan matlamat dan hendaklah disusun mengikut keutamaan. Mustahil untuk berada dalam dua tempat pada satu masa maka kemahiran menyusun jadual dan pembahagian tugas amat penting. Ada kerja yang ibu kena lakukan sendiri dan ada yang boleh diserahkan pada orang lain. Sebagai contoh, apabila berada dirumah, kebajikan anak-anak lebih utama daripada kerja-kerja mencuci kerana mencuci boleh dilakukan dengan bantuan teknologi atau orang lain.
Rancang dan ikut perancangan tetapi beri sedikit ruang untuk keanjalan agar tidak terlalu rigid dan membebankan
Berkeyakinan diri –apabila matlamat dan senarai keutamaan telah ditentukan maka ibu perlu cekal dan bermotivasi untuk mencapainya walaupun terpaksa mengharungi pelbagai dugaan. Ini memerlukan semangat yang kuat dan keyakinan bahawa apa yang dilakukan itu adalah untuk kebaikan.
Tidak guna melayan rasa bersalah keluar bekerja dan meninggalkan anak kerana bekerja bukannya pergi makan angin tetapi mencari rezeki. Jika perasaan bersalah sering melanda dan sukar diatasi maka lebih baik ibu berhenti kerja dan tumpukan sepenuh masa dirumah.
Berakhlak mulia – ibu yang berakhlak mulia penting untuk membimbing anak-anak supaya mereka juga mempunyai akhlak yang mulia. Ibu merupakan guru dan ‘role model’ pertama anak-anak. Akhlak anak-anak sering dilihat sebagai cermin akhlak ibu yang mendidik mereka.
Kemesraan berinteraksi - senyuman yang sentiasa terukir di wajah ibu boleh menjadi penawar kedukaan. Anak-anak yang pulang kerumah dan disambut dengan sifat mesra dan penyayang akan rasa dihargai. Bayangkan apa perasaan anak jika pulang ke rumah disambut dengan muka bengis dan rungsing ibu, tentu menggerunkan.
Keikhlasan - ibu hendaklah sentiasa menanamkan sifat kejujuran dan keikhlasan dalam segala tindak-tanduknya. Kejujuran dan keikhlasan dapat dirasai oleh oleh anak. Apabila ibu menghukum anak misalnya, kejujuran dan keikhlasan ibu akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri anak berbanding dengan hukuman yang disertai dengan perasaan marah dan benci.
Berkomunikasi dengan baik –bincang dengan suami dan anak-anak tentang perkara-perkara yang perlu dibereskan. Jangan jadi ‘superwoman’ dan mahu melakukan segala-segalanya seorang diri kerana ini akan memudaratkan kesihatan.
Sentiasa berdoa - ibu seharusnya sentiasa berdoa untuk diri dan ahli keluarganya. Usaha tanpa doa tidak dapat mendatangkan hasil yang sempurna kerana Allahlah yang menentukan segalanya.
Kesimpulan
Kepada ibu-ibu, tentu ramai setuju sungguh sukar untuk mencari kesempurnaan atau keseimbangan dalam dunia kerjaya dan rumahtangga ini. Cukup dengan berusaha bersungguh-sungguh dan menyerahkan segalanya kepada Allah kerana Allah maha mengetahui akan kelemahan dan kekurangan hambaNya.
Kepada suami-suami, ingatlah firman Allah:
‘Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya bahawa Ia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih dan sayang dan belas kasihan.
Kasih sayang dan sifat keperihatinan suami dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh isteri.
(Ar-Ruum: 21)
Kepada anak-anak, hargailah ibu-ibu anda. Peluang ini Allah beri sekali sahaja sementara nafas mereka masih ada. Bantulah meringankan tugas-tugas dirumah kerana ini dapat mengurangkan tekanan yang mereka hadapi. Jadikan hari ibu bukan setakat satu hari ini sahaja tetapi setiap hari sepanjang hayat ibu. Cukup kah sekuntum bunga dalam setahun untuk menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu? Bagaimanakah ungkapan ‘syurga itu dibawah tapak kaki ibu’ dapat di kekalkan dalam minda anak anak zaman ini?

Penulis merupakan ketua wanita JIM Sepang, Selangor dan boleh di hubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, May 04, 2007

Lelaki abai tugas pelindung tanda akhir zaman

Jendela Hikmah: Lelaki abai tugas pelindung tanda akhir zaman
Maszlee Malik

DIRIWAYATKAN oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan menjadi berleluasa, wanita semakin ramai dan lelaki semakin kurang sehinggakan 50 wanita hanya dilindungi oleh seorang lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Masalah sosial dan keluarga yang kian meruncing adalah disebabkan ramai lelaki yang tidak lagi berperanan sebagai lelaki dan hilang semangat kelelakiannya.

Mungkin ramai yang akan menduga hilang semangat kelelakian membawa maksud bertambahnya lelaki lembut seperti yang pernah diperbincangkan dalam akhbar harian tempatan suatu waktu dulu.

Ada juga menyangkakan yang dimaksudkan dengan semakin kurangnya bilangan lelaki, tetapi sebenarnya bukan demikian. Bilangan lelaki ramai, jika tidak lebih atau sama dengan bilangan wanita pun sekurang-kurangnya tidaklah terlalu jauh nisbahnya.

Yang dimaksudkan di sini ialah kurangnya lelaki yang menjalankan peranannya sebagai lelaki seperti disebutkan oleh al-Quran: “Para lelaki adalah qawwamun (pelindung) kepada wanita.” (Surah al-Nisa, ayat 24)

Hipotesis itu sebenarnya ada kebenarannya, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bertepatan dengan hadis di atas. Hadis itu menyebut bahawa antara tanda akhir zaman ialah lelaki semakin kurang daripada wanita, dan yang lebih parah lagi, 50 wanita hanya dijaga seorang lelaki.

Menariknya, dalam hadis itu Rasulullah SAW menggunakan perkataan ‘qawwam’ yang bermaksud pelindung untuk 50 wanita dan tidak menggunakan perkataan ‘rijal’ yang membawa maksud lelaki.

Maksudnya, orang lelaki yang menjaga wanita semakin sedikit bilangannya. Yang ramai ialah lelaki yang tidak menjadi penjaga wanita, sama ada tidak bertanggungjawab menjaga keluarga, tidak berperanan sebagai ketua keluarga ataupun memperlakukan wanita dengan perlakuan memudaratkan mereka, seperti mengeksploit, merogol, menjadikan wanita alat pemuas nafsu dan sebagainya.

Lihat apa yang berlaku di dalam masyarakat kita yang semakin hari semakin hancur moralnya. Berita kejadian rogol bagaikan sama wajibnya dengan ruangan siaran televisyen di dada akhbar.

Sumbang mahram, bunuh, samun, ragut, dera isteri, anak, pembantu rumah dan 1001 kejadian dan peristiwa yang jelas menunjukkan hilangnya kelelakian ramai lelaki di Malaysia ini.

Bukannya hilangnya sifat kelelakian kerana mereka bertukar jantina, tetapi kerana mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai lelaki yang sebenarnya iaitu ‘pelindung’ bagi wanita.

Apakah rasionalnya teori itu? Jika lelaki mempunyai kelelakian dan menjadi pelindung, dia akan melihat wanita golongan yang memerlukan perlindungan, dihormati, dijaga kehormatan, tidak boleh dikasari, tidak dieksploitasi apa lagi diperlakukan sesuka hati seumpama barang.

Lelaki yang mempunyai sifat pelindung tidak akan berzina dengan wanita yang haram baginya kerana menyedari dia wajib melindungi maruah wanita itu. Lelaki pelindung tidak akan merogol wanita, kerana beliau menyedari beliaulah yang patut melindungi wanita daripada dikasari dan dizalimi, apatah lagi terhadap anak, cucu dan kerabat mereka sendiri.

Seorang lelaki pelindung juga tidak sekali-kali akan menyamun, mencuri, meragut dan membunuh wanita kerana merekalah yang sepatutnya melindungi wanita daripada sebarang mudarat dan musibah. Pendek kata, jika masyarakat mempunyai ramai lelaki pelindung, kuranglah masalah kekeluargaan dan sosial.

Keluarga memerlukan lelaki pelindung yang tidak akan bermalasan di rumah membiarkan isteri dan anak saja membanting tulang. Lelaki pelindung juga tidak akan memukul dan mendera sama ada isteri mahupun anaknya.

Lelaki pelindung juga tidak akan menengking, mengherdik, memaki, mencaci dan mencarut wanita dan ahli keluarganya, tidak akan menggadai maruah anak isteri walau sesulit mana pun masalah yang dihadapi. Sayangnya lelaki pelindung semakin pupus di dalam masyarakat Melayu Muslim di Malaysia pada hari ini.

Ironiknya dalam sesetengah keadaan, wanita turut menyumbang kepada pelupusan sifat pelindung lelaki. Kedengaran suara sumbang aktivis wanita yang ingin mendapat taraf sama dengan lelaki tanpa menyedari risikonya.

Mereka juga galak menyeru kepada usaha dominasi wanita terhadap tugas yang selama ini di dominasi lelaki. Di satu sudut, muncul bagai cendawan lepas hujan wanita yang rela diri dieksploitasi lelaki yang mementingkan nafsu dan keuntungan material semata-mata daripada etika dan maruah.

Bagaikan sesuatu yang biasa, kewujudan GRO, pelacuran sama ada yang terhormat ataupun tidak berlesen. Media berlumba-lumba mempergunakan wanita untuk melariskan produk mereka.

Bagaimana menyedarkan lelaki mengenai tugas mereka sebagai pelindung? Proses yang bagaimana perlu diaplikasikan terhadap semua lelaki di Malaysia supaya sedar mereka adalah lelaki dan perlu menjadi pelindung bagi wanita?

Dalam hal ini, lelaki terutama Muslim perlu menyedari kedudukan mereka di hadapan Allah dan perlunya mereka kembali kepada Islam yang mengangkat martabat wanita dan menjadikan lelaki sebagai pelindung martabat iu.

Jika seseorang Muslim sedar bahawa dia adalah hamba Allah, maka dia wajib mengikuti perintah Allah, mengikut ajaran al-Quran yang menyuruh lelaki melindungi wanita mencontohi Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW tidak pernah menyakiti apatah lagi menganiaya dan menzalimi wanita. Baginda mengajar kita bagaimana melindungi wanita sebahagian daripada unsur utama masyarakat Islam. Dengan mengikuti sunnah, lelaki akan sentiasa menjadi pelindung bagi wanita.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan boleh dihubungi melalui emel wanitajim0@yahoo.com