Friday, September 22, 2006

Jendela Hikmah: Puasa tak lengkap sekadar lapar, dahaga

Jendela Hikmah: Puasa tak lengkap sekadar lapar, dahaga
Oleh Prof Madya Maznah Daud

ALHAMDULILLAH Ramadan yang kita tangisi pemergiannya hampir setahun lalu kini bertandang lagi. Mereka yang beriman dan yakin pada janji Allah menanti kehadiran bulan yang penuh barakah ini dengan pelbagai perasaan bercampur baur.


Di samping rasa syukur tidak terhingga kerana masih diberi kesempatan untuk menyambut bulan yang mulia, mukmin dihambati perasaan sedih dan sayu. Ketibaan bulan yang dinanti ini menandakan peningkatan usia dan bertambah dekatnya hujung kehidupan di alam fana ini.

Apakah pertambahan usia seiring dengan peningkatan pahala atau sebaliknya? Apakah pada penghujung usia yang teramat singkat ini amalan dan kebaktian kita semakin berganda atau semakin sirna?

Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadan bukan lagi satu rahsia. Allah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat iaitu detik turun kitab suci paling agung.

Kitab diturunkan khusus untuk memimpin tangan manusia ke jalan benar, mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya terang benderang. Bayangkan sekiranya kitab ini tidak diturunkan! Pasti kita tidak akan mengenal erti kehidupan, dari mana kita datang, ke mana kita akan pergi dan untuk apa kita hidup di dunia sementara ini?

Lantaran mereka yang tidak mengambil manfaat daripada kitab mulia ini adalah golongan paling malang dan paling rugi.

Ramadan juga mencatat sejarah gemilang; kemenangan golongan yang membawa panji kebenaran ke atas golongan mustakbirin mempunyai kekuatan kebendaan tiga kali ganda di dalam Ghazwah Badar al-Kubra.

Maka ketibaan bulan mulia yang penuh sejarah ini sewajarnya disambut dan diraikan dengan acara gilang gemilang. Dan tidak ada acara yang lebih bermakna dilakukan oleh seorang insan, selain mengikhlaskan pengabdian kepada Pencipta Yang Maha Esa.

Sesungguhnya Allah mensyariatkan beberapa perkara wajib dan sunat pada Ramadan. Itulah yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Ibadah paling penting yang disyariatkan pada Ramadan ialah puasa.

Puasa ditakrifkan sebagai: Menahan diri daripada makan dan minum atau apa-apa juga yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Tujuan utama puasa ialah mendidik manusia agar menjadi hamba bertakwa.

Takwa bermaksud memulihara diri daripada azab Allah dengan mentaati segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya.

Mungkin timbul persoalan, apakah dengan meninggalkan makan, minum dan syahwat pada siang hari dapat melahirkan insan bertakwa? Sekadar meninggalkan makan dan minum memang tiada apa-apa kesan kecuali lapar dan dahaga. Namun, apa yang dimaksudkan meninggalkan makan dan minum ketika berpuasa ialah menahan dan menguasai diri agar tidak melakukan larangan Allah.

Kita tidak makan bukan kerana tidak ada makanan untuk dimakan, bukan kerana tidak ada duit untuk membeli makanan, tidak ada selera untuk makan, ditahan dan disekat daripada mengambil makanan. Kita tidak makan semata-mata kerana mematuhi perintah Allah.

Allah berfirman bermaksud: “... dan makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib)...” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Sebagai hamba, kita mesti menyedari bahawa segalanya di bumi ini milik Allah yang mutlak. Tidak ada sesiapa pun yang berkongsi dengan-Nya dalam pemilikan itu dan tidak ada sesiapa pun yang boleh menggugat kekuasaan-Nya.

Puasa mengajar kita agar menginsafi hal ini. Tidak ada sesuatu pun yang mampu kita sentuh tanpa izin-Nya, hatta makanan yang kita beli dengan duit sendiri atau dimasak sendiri. Semua adalah milik-Nya. Dia saja berhak menentukan bilakah masa kita boleh menikmatinya dan bilakah masanya kita tidak boleh. Inilah pengajaran hendak diterapkan dalam hati setiap mukmin ketika dia meninggalkan makan dan minumnya pada waktu berpuasa.

Hari ini kita dapati ramai Muslim berpuasa menahan diri daripada lapar dan dahaga. Namun, pada masa sama mereka tidak segan silu melakukan perbuatan dilarang Allah. Mulut dikawal tidak mengunyah makanan lazat yang terhidang di depan mata, tetapi pada masa sama mulut itu disumbat pula dengan daging busuk dan berulat.

Gejala tidak mengawal diri daripada melakukan perbuatan ditegah Allah makin ketara ketika menyambut ketibaan hari raya. Pelbagai acara diatur dan direka dengan kreatif dan inovatif. Semua untuk keseronokan dan memenuhi tuntutan nafsu yang tidak mengenal sempadan halal dan haram. Hari raya adalah hari perisytiharan kemenangan melawan nafsu, bukan memperaja dan memenangkan nafsu.

Untuk menjadikan ibadah puasa lebih bermakna seharusnya kita berusaha memahami hikmahnya dan berusaha menghayatinya sedaya mampu. Matlamat puasa ialah menjadi insan bertakwa. Sahabat Nabi Muhammad SAW pernah membuat analogi keadaan orang bertakwa itu seperti seseorang sedang berjalan di sebatang jalan penuh onak dan duri. Dia melangkah dengan waspada dan sentiasa berhati-hati agar kakinya tidak terpijak duri.

Setiap pekerjaan atau perkataan yang dilakukan diteliti terlebih dulu supaya tidak terlanggar dan terbabas ke sempadan dilarang.

PENULIS pensyarah syariah Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com

No comments: