Friday, February 03, 2006

Berniaga ikut syarak diberkati Allah

Jendela Hikmah: Berniaga ikut syarak diberkati Allah
Oleh Abdul Razak Jambari

KITA kerap mendengar keluhan mengenai keperluan barangan harian apabila tiba cuti perayaan Tahun Baru Cina. Apabila peniaga bukan Islam bercuti, terasa kesulitan kerana kebergantungan ini.

Kita seolah-olah tiada pilihan. Hal ini menunjukkan betapa perlunya orang Islam membabitkan diri dalam perniagaan.

Ia penting bagi memenuhi keperluan orang Islam yang selama ini banyak bergantung kepada perniagaan bukan Islam.

Maka, amat wajar orang Islam memanfaatkan peluang untuk berniaga dan menjadi usahawan.

Dalam suasana peratus pengangguran tinggi, siswazah perlu digalakkan dan diberikan pendedahan dalam bidang keusahawanan.

Pelbagai usaha sama, dalam bentuk kursus atau bantuan kewangan yang disediakan untuk membantu usahawan perlu dimanfaatkan.

Belia Islam perlu difahamkan bahawa bidang perniagaan amat penting dalam membina kekuatan ummah. Ia adalah salah satu bidang ’jihad’ iaitu jihad ekonomi.

Usahawan berkait rapat dengan bidang perniagaan. Banyak bidang perniagaan yang boleh disertai seperti pembuatan, perkilangan, pasar tani, pasar malam jualan runcit perniagaan francais atau jualan langsung.

Dari perspektif Islam, perniagaan mempunyai ciri tersendiri. Perniagaan atau tijarah dalam bahasa Arab ialah ‘pertukaran’.

Ibn Khaldun mentakrifkan perniagaan mengikut istilah muamalat Islam sebagai usaha untuk mendapatkan keuntungan dengan mengembangkan harta secara membeli barang dengan harga murah dan menjualkannya dengan yang lebih, sama ada barang itu tepung, tanaman, binatang ternakan atau kapas. Kadar yang lebih itulah yang dinamakan untung.

Ada beberapa ayat dalam al-Quran menyentuh mengenai perniagaan. Perkataan perniagaan di dalam al-Quran ini boleh ditafsirkan sebagai pelaksanaan dakwah atau perniagaan sesama manusia.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta berjuang membela agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

“Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, serta tempat tinggal yang baik dalam syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah as-Saff, ayat 10 hingga 12)

Mengikut ayat di atas Allah menjanjikan syurga kepada orang yang berniaga barangan Allah dan barangan Allah ialah berdakwah.

Selain perniagaan yang menguntungkan, Allah ada juga menyebut mengenai perniagaan yang amat merugikan. Firman-Nya bermaksud: “Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (agama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka, sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 175)

Perniagaan di antara kita dengan Allah adalah perniagaan yang tidak mengalami kerugian. Namun, perniagaan dengan manusia ada masa menguntungkan dan kerugian.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah, mendirikan sembahyang dan mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Surah Faatir, ayat 29)

Semua mukmin amat beruntung jika mereka berniaga dengan Allah. Perniagaan yang hakiki ialah berniaga barang Allah iaitu berdakwah ke jalan-Nya. Barang dakwah ini walaupun tidak laku, kita masih mendapat keuntungan daripada Allah.

Berniaga dengan manusia kerana Allah serta menurut etika dan lunas yang Allah gariskan juga akan diberikan ganjaran tinggi di sisi Allah.

Seterusnya perbincangan mengenai bidang perniagaan di dalam artikel ini menjurus kepada perbincangan mengikut tafsiran Ibn Khaldun.

Amalan perniagaan menunjukkan tiga perkara yang berkaitan iaitu adanya proses membeli, menjual dan bertujuan mendapatkan keuntungan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Saudagar atau perniagaan yang amanah, benar, menghayati tuntutan Islam akan ditempatkan bersama dengan syuhada pada hari kiamat kelak.”

Seluruh ulama sependapat perniagaan adalah suatu bentuk muamalah yang fardu kifayah dalam Islam. Maka, beruntunglah orang yang menjalankan perniagaan menurut batas yang ditetapkan oleh Allah dan rasul-Nya kerana Allah menjanjikan syurga kepada golongan sedemikian.

Artikel dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia. Penulis seorang pengurus bank dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

No comments: